Wanita maut dihempap pokok rhu

Tuesday, April 24, 2012

Wanita maut dihempap pokok rhu | ROMPIN: Seorang wanita yang sedang berkelah bersama keluarganya di Pantai Hiburan, dekat sini, maut selepas dihempap sebatang pokok rhu.

Mangsa, Norzuraini Rahim, 22, berasal dari Keratong mati di tempat kejadian akibat patah tengkuk.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, ASP Zainor Mujahidin Mat Yudin berkata dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya berkelah di pantai berkenaan.

"Dalam kejadian itu mangsa dan keluarganya sedang berkemas-kemas untuk pulang setelah berkelah di situ.


"Tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menyebabkan beberapa dahan pokok rhu patah dan tumbang, salah satu daripadanya telah menghempap mangsa," katanya di sini, hari ini.


Beliau berkata mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Kata Zainor, mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Keratong pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Mohd Affandi Mansur berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan telefon daripada orang awam kira-kira pukul 6 petang semalam.

Beliau berkata anggotanya tiba di tempat kejadian empat minit kemudian sebelum mendapati mangsa telahpun meninggal dunia akibat tersepit dihempap pokok tersebut.

"Anggota penyelamat terpaksa memotong batang pokok itu dan kita mengambil kira-kira sepuluh minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.

"Seramai sepuluh anggota dan satu jentera terlibat dalam operasi itu," katanya. - BERNAMA

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images