­

Lelaki Baik Tidak Cool?

Wednesday, April 25, 2012


 
Jadi lelaki baik tidak cool? Kononnya jadi lelaki yang baik dan ‘skema’ itu tidak hebat. Jadi lelaki yang sebaliknya; suka tukar teman wanita dan nakal, itu lebih hebat. Disebabkan itu ada yang terdorong mahu jadi nakal yang akhirnya tanpa disedari terjebak langsung melanggar peraturan dan undang-undang.
Tanpa disedari, daripada perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang, akhirnya ada pula yang terjebak lebih jauh sehingga menjadi penjenayah. Ramai anak muda yang terjebak secara tidak sengaja dalam kancah jenayah seperti jenayah ragut, rogol, rompak dan samun. Semuanya bermula daripada main-main dan suka-suka tetapi akhirnya apabila sudah terjebak, susah hendak berpatah balik.
Jenayah adalah kesalahan secara umum, sama ada yang melibatkan soal moral atau fizikal, sama ada membabitkan tubuh badan, harta benda atau kepentingan lain. Keterlibatan kalangan anak muda dalam jenayah seperti mencuri motor, pecah rumah, dadah, ragut, buli, rogol dan samseng jalanan sememangnya merunsingkan masyarakat yang meletakkan harapan tinggi supaya mereka ini jadi pewaris negara dalam kepimpinan.
Banyak sebab yang menjebakkan anak muda ke kancah jenayah, seperti masalah dalam keluarga sendiri, pergaulan dengan rakan dan pelbagai tarikan lain. Apa pun alasannya, kebanyakan kita memang sedia maklum, jadi penjenayah bukanlah suatu perbuatan yang boleh dibanggakan. Tetapi masih ada yang tidak serik dan masih mahu mencuba. Bagi anak muda, kita boleh sematkan dalam kepala akan beberapa perkara penting berikut:
1. Hindari sebelum terlambat.
Dalam Islam, kita digalakkan menghindarkan diri atau mencegah sebelum terlambat. Jika sudah terjebak, bimbang sukar untuk berpatah balik. Sama seperti jika sudah sakit, walaupun sudah makan ubat, tetapi mungkin keadaannya tidak sama lagi apabila sudah sembuh. Sama seperti apabila sudah bergelar penjenayah, ‘rekod peribadi’ sudah tercemar dan kadangkala ia boleh menghantui kita seumur hidup.
2. Jangan cuba-cuba.
Tidak dinafikan, sebagai manusia, kita ada naluri ingin mencuba yang sangat kuat. Namun sebelum mencuba, cubalah fikir dahulu kesan yang akan menimpa. Rasa-rasanya sebagai anak muda yang waras, kita memang sudah sedia maklum sebab dan akibat daripada sesuatu perbuatan. Jadi, tidak perlulah mencuba sesuatu yang sia-sia atau sesuatu yang memang diyakini akan memberikan kesan besar pada masa depan sendiri.
3. Memilih kawan yang baik.
Kebanyakan kes jenayah dalam kalangan anak muda berlaku kerana pengaruh kawan. Sebagai orang muda, kita selalu didorong rasa mahu diterima dalam kelompok tertentu. Kadangkala dengan jadi anak nakal, kita rasa diri hebat dan diterima, maka inilah yang mendorong ramai terjebak. Dalam memilih kawan yang baik, Rasulullah sendiri menegaskan dalam hadis riwayat Muslim, “Perumpamaan berkawan dengan orang baik dan berkawan dengan orang jahat tidak ubah seperti berkawan dengan penjual minyak wangi atau tukang tiup api di bengkel tukang besi. Jika berkawan dengan penjual minyak wangi, adakalanya kita akan dipalit minyak wangi, atau kita beli daripadanya, atau setidak-tidaknya dapat mencium harumannya. Jika berkawan dengan peniup api, adakalanya pakaian kita boleh terbakar atau setidak-tidaknya pasti tercium bau busuk.” Hadis ini menjadi garis panduan bagi kita dalam memilih kawan kerana kawan kita sebenarnya adalah cermin peribadi kita juga.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images