­

Peringatan buat Najwa Latif

Wednesday, April 25, 2012


NAJWA bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini.



Peringatan buat Najwa Latif | SINGLE pertamanya, Cinta Muka Buku, telah mempopularkan namanya. Namun, sejak awal pembabitan Najwa Latif sebagai penyanyi, wujud segelintir pihak yang mempersoalkan tentang gubahan muziknya yang didakwa sebagai terlalu santai dan tidak matang.
Selain itu, cara dia berfesyen juga menjadi kritikan. Bermula dengan persembahan pada Anugerah Industri Muzik ke 18 (AIM18) sehingga kemunculannya dalam sebuah acara hiburan baru-baru ini, fesyen yang digayakan Najwa meraih kritikan negatif.
Dia dikatakan telah menjadi mangsa fesyen dalam setiap majlis hiburan yang dihadirinya.
Biar sering dikritik, namun itu tidak membuat dia kurang tawaran membuat persembahan atau menerima tawaran menjadi duta. Terkini, Najwa telah dilantik untuk menjadi duta sebuah portal pembelajaran, Uniqliq Sdn. Bhd.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama penyanyi berusia 17 tahun ini.
Kosmo!: Apakah perasaan Najwa terpilih sebagai duta Uniqliq?
NAJWA: Saya berasa seronok kerana telah diberi tanggungjawab untuk menjadi duta Uniqliq. Sebenarnya sebagai seorang pelajar, saya sendiri selalu menggunakan portal sebagai salah satu alternatif pembelajaran. Maka apabila saya menjadi duta mereka, saya akan lebih kerap manfaatkan portal untuk mengulang kaji. Selain itu, saya juga dapat mengajak rakan-rakan sebaya untuk menggunakan kaedah pembelajaran melalui portal Uniqliq.
Apakah keunikan Uniqliq?
Ia sangat mudah dan menarik. Bagi diri saya sendiri yang mempunyai jadual yang agak sibuk, Uniqliq sangat berkesan sebagai medium untuk mengulang kaji pelajaran.
Boleh komen tentang kritikan terhadap cara Najwa berfesyen. Banyak yang berpendapat, cara anda berfesyen tidak sesuai dengan usia dan kelihatan canggung.
Saya bukan lahir dari keluarga yang tahu mengenai fesyen. Saya sendiri lebih selesa dengan jean, baju-T, baju sejuk dan tudung bawal bila keluar rumah. Jadi, mungkin fesyen merupakan salah satu kelemahan saya. Tapi, saya akan cuba memperbaiki diri saya. Kritikan seperti ini saya ambil sebagai peringatan dan berubah untuk menjadi lebih baik.
Ada gosip mendakwa anda sebenarnya cerewet dalam memilih fesyen, tidak mahu terima cadangan pereka fesyen untuk anda. Malah kalau anda tidak suka, anda akan tukar sendiri fesyen yang sudah diberikan. Benarkah begitu?
Oleh kerana tidak arif dalam bidang ini, saya memberi sepenuh kepercayaan kepada pereka fesyen. Mereka tahu apa yang saya mahukan. Apa yang saya atau kakak saya selalu pentingkan sudah tentu kesesuaian fesyen dengan penampilan saya yang bertudung ini.
Dalam pada itu, adakah lirik lagu terbaharu anda, Kosong ditujukan buat para pengkritik anda?
Menyentuh tentang lirik, orang yang layak menjawab soalan tersebut sudah tentu kakak saya kerana dia yang menulis lirik tersebut. Bagi saya, lirik lagu Kosong ada pelbagai maksud dan boleh diletakkan dalam pelbagai situasi, bergantung bagaimana kita melihat sisi lirik lagu tersebut. Ia sebenarnya juga mengenai pengalaman hidup dan saya menganggap lirik ini sebagai pembakar semangat supaya kita tak mudah putus asa dan kejar cita-cita kita walaupun orang sekeliling cuba untuk meruntuhkan semangat kita.
Bagaimana dengan kritikan bahawa muzik Najwa terlalu santai dan tidak matang?
Apa sahaja kritikan orang mengenai lagu-lagu saya, saya ambil sebagai satu kritikan membina dan positif. Namun, saya berbangga dengan karya saya, setiap satu lagu dan lirik saya, kerana itu yang menjadikan siapa Najwa Latif sekarang. Namun, saya tetap mahu menjadi lebih baik daripada sebelum ini.
Anda juga didakwa sombong dan kurang mesra. Apa sebabnya?
Mungkin ada orang yang menyapa saya, tapi saya tak perasan dan sebagainya. Mungkin kerana itu orang menganggap saya sombong atau kurang mesra. Cukuplah diri sendiri, keluarga dan mereka yang mengenali saya tahu siapa saya. Saya ambil semua teguran sebagai satu peringatan dan lebih berhati-hati kelak.
Perkembangan terkini anda?
Saya baru sahaja muncul dengan album mini baharu yang berjudul Najwa Latif dan boleh didapati di kedai muzik yang berdekatan dengan harga RM19.90. Terdapat lima buah lagu dalam album mini tersebut termasuklah Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Kosong serta dua lagu baru iaitu I Love You dan Sahabat. Saya juga sudah mula berehat daripada melakukan persembahan kerana ingin memberi fokus terhadap peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan saya duduki pada tahun ini.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images