Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K

Thursday, April 26, 2012


Maulana
Dunia Hiburan Banyak Kerenah, Maulana Bawa Diri Ke U.K ? PETALING JAYA: Penyanyi Maulana (AF8) mahu membawa diri ke United Kingdom (U.K) pada tahun ini selepas kecewa dengan kerenah industri hiburan tempatan.
Penyanyi lagu RSVP ini berkata, keputusan itu sudah lama dipertimbangkan sejak dia mula menyedari kedudukannya sebagai penyanyi yang tidak stabil dan terumbang-ambing.
“Saya berasa terkilan apabila melihat keadaan industri muzik tempatan yang terlalu banyak kerenah tetapi kurang menyokong perkembangan bakat-bakat pelapis.
“Realitinya, amalan kronisme di kalangan penggiat dan penganjur acara hiburan kita hanya memberikan peluang kepada muka-muka yang sama. Sekalipun artis berkenaan kurang berbakat tetapi atas dasar hubungan akrab, mereka akan dapat tawaran demi tawaran.
“Saya tidak mempertikaikan peluang yang diterima artis-artis lain kerana itu adalah rezeki masing-masing tetapi saya sendiri berasa seperti disisihkan dan sukar untuk berkembang dalam keadaan yang positif dalam industri sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, dia mahu mencabar dirinya dengan mencari peluang di negara berkenaan selepas pernah terpilih dalam peringkat pertama uji bakat program nyanyian X Factorpada hujung Januari lalu.
“Saya mahu menguji pasaran dan penerimaan orang luar terhadap bakat saya. Kejayaan saya apabila layak mara ke peringkat kedua uji bakat program X Factor di U.K pada Januari lalu membuktikan saya mungkin berpeluang untuk mengembangkan bakat negara itu.
“Namun, saya terpaksa lepaskan peluang tersebut kerana tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk berulang-alik ke sana. Secara kebetulan juga saya mempunyai saudara-mara dan kenalan untuk saya menumpang bagi membolehkan saya mencari peluang untuk memulakan karier nyanyian,” katanya.
Maulana menambah, selain hasrat itu, dia turut merancang untuk memulakan perniagaan restoran makanan Melayu di U.K.
“Alang-alang hendak mencari peluang nyanyian di sana, saya dan keluarga merancang untuk memulakan perniagaan restoran. Secara kebetulan, saya mempunyai pakcik dan beberapa kenalan yang boleh membantu,” katanya.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images