Bersedia dengan segala kemungkinan

Wednesday, April 25, 2012




Bersedia dengan segala kemungkinan | BUKAN mudah untuk mencipta nama apatah lagi bertahan dalam bidang seni. Perkara ini harus diketahui penyanyi-penyanyi baharu terutamanya mereka yang lahir dari program realiti. Mentor misalnya, kini sudah memasuki musim keenam.
Biarpun membariskan artis-artis popular dan berpengalaman dalam industri sebagai Mentor, tidak semua protege mereka berjaya mencipta nama seterusnya bertahan dalam industri seni. Hanya Black sahaja dilihat begitu menyerlah. Siapa yang harus dipersalahkan?
Bertemu dengan enam protege Mentor musim keenam baru-baru ini pada sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Kosmo! sempat mengajukan persoalan kepada Anas, Caroline, Zatul, Tisha, Ayu dan KJ iaitu apakah hala tuju mereka selepas tamat Mentor kelak.
Ana akan bertahan
Ana Syuhada Noor Asram atau Ana, 21, iaitu protege kepada Ramlah Ram, menegaskan dia akan bersiap sedia menghadapi dunia artis sebenar selepas tamat Mentor 6.
"Saya akui bukan mudah untuk peserta program realiti seperti kami untuk mencipta nama. Kami perlu bersaing dengan ramai lagi peserta program realiti lain. Ia bergantung kepada nasib. Namun, saya akan pastikan diri saya akan terus menyanyi kerana ia adalah minat saya sejak kecil lagi. Saya mahu terus bertahan dalam industri ini dan memperbaiki setiap kelemahan yang ada agar masyarakat dapat menerima bakat saya," ungkapnya optimis.
Mengulas mengenai perasaannya menerima markah paling rendah berbanding Anas dan Tisha untuk kumpulan A, luah Ana, mungkin belum rezekinya untuk meraih undian yang banyak daripada peminat.
Akuinya, memang pada konsert minggu pertama dia berasa kecewa kerana meraih markah yang paling rendah. Namun, ia menjadi suatu cabaran buat gadis kelahiran Shah Alam ini untuk muncul jauh lebih baik pada konsert seterusnya agar dapat menyaingi Anas dan Tisha.
"Memang kecewa sangat menerusi kedua-dua konsert awal Mentor itu, saya memperoleh markah yang paling rendah tetapi saya anggap ia cabaran untuk saya perbaiki kelemahan dan cuba buat yang lebih baik untuk konsert seterusnya," ujarnya.
Mengenai pengalaman bekerja bersama penyanyi Ramlah Ram pula, ujar Ana: "Ramlah banyak berkongsi pengalamannya dengan saya. Walaupun tidak garang tetapi dia tegas dan kadangkala bising macam ibu saya juga tetapi saya senang menerima segala teguran mahupun tunjuk ajar daripadanya.
Anas peserta pilihan
Pemilik nama sebenar Anas Ridzuan, 23, yang kini meraih undian paling tinggi dalam kalangan para peserta Mentor 6 yang lain selepas dua minggu program itu berlangsung, mengakui dia bimbang sekiranya peminat mengharapkan persembahan yang lebih bagus daripadanya selepas ini.
"Walaupun meraih markah paling tinggi berbanding peserta-peserta lain, saya tak anggap ia selesa. Sebaliknya ia membuatkan saya lebih takut jika tidak dapat mencapai tahap yang bagus seperti yang diinginkan peminat dan juri. Banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi penyanyi berkebolehan," tuturnya.
Anas juga berharap peminat menyukainya disebabkan bakat yang ada padanya dan bukan disebabkan perkara lain.
Sebelum ini, ramai peminat yang menyamakan Anas dengan vokalis kumpulan Nidji, Giring. Bagaimanapun, protege kepada Faizal Tahir itu berasa janggal dan sukar memberi sebarang reaksi apabila diberitahu tentang perkara itu.

MAMPUKAH keenam-enam peserta Mentor 6 muncul menjadi bintang terkenal selepas berakhirnya program realiti TV ini?



"Walaupun ramai yang cakap wajah saya dan Giring seiras, bagi saya, kami tidak ada persamaan langsung. Mungkin sebab rambut kami sama-sama keriting. Saya harap mereka menyukai saya disebabkan bakat nyanyian dan lakonan saya, bukan disebabkan wajah yang dikatakan mirip Giring," tuturnya sambil ketawa.
Anak muda ini nyata sudah merangka hala tujunya selepas tamat Mentor 6 kelak.
"Saya bukan sahaja berminat untuk jadi penyanyi tetapi juga pelakon teater. Saya tak kisah ke mana hala tuju saya selepas Mentor 6, cuma berharap ia masih dalam bidang seni. Kalau sukses dalam kedua-dua bidang lagi bagus," katanya.
Berkongsi pengalamannya menjadi protege Faizal Tahir, tutur Anas, penyanyi terkenal itu tidak pernah memberi tekanan kepadanya untuk mencuba pelbagai jenis genre muzik.
"Tiada tekanan bekerjasama dengan Faizal, cuma dia akan serius jika bercerita tentang muzik. Faizal juga tidak memberi pengkhususan kepada satu-satu genre lagu sahaja sebaliknya memberi kelonggaran kepada saya untuk mencuba pelbagai genre muzik," ujarnya lagi.
Zatul diuji Ogy
Zatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin Mohd. Hussin, 23, mengakui, dia berdepan dengan cabaran kerana mentornya, Fauziah Datuk Ahmad Daud banyak menguji dirinya bukan sahaja dari segi nyanyian tetapi juga dari segi tarian.
"Saya ingat saya kena menyanyi sahaja tetapi rupa-rupanya kena menari sekali. Memang mencabar, kerana selama ini saya tak pernah menari.
"Memang saya akui malu nak menari tapi sudah masuk ke dalam bidang ini, jadi saya kena buang perasaan malu untuk menjadi seorang penyanyi yang berjaya," ujarnya merujuk pada persembahannya pada konsert pengenalan Mentor 6 yang menyaksikan dia menampilkan gerak tari bertenaga menerusi lagu popular Dewi-Dewi, Doktor Cinta.
Mengulas mengenai hala tujunya selepas Mentor 6, Zatul yang juga berminat menjadi pengacara dan pelakon itu berkata, dia akan berbincang dengan mentornya supaya mampu menjadi lebih baik. Malah, dia juga mempunyai impian untuk menjadi seorang penghibur seperti mentornya itu.
Kontroversi Tisha
Keadaan kesihatan protege asal Ferhad iaitu Salwani Sawi atau Wanie yang tidak mengizinkan menyebabkan penyanyi terkenal dari Singapura itu terpaksa memilih seorang pengganti dari senarai peserta Top 3 yang menjalani uji bakat dan Tisha menjadi pilihan.
Mengenali pemilik nama penuh Shanorbiah Shamsir Alam, 26, dia sebelum ini pernah menempa nama melalui sebuah lagi program nyanyian realiti ntv7, Audition, yang berlangsung pada tahun 2004.
"Rasa macam tak percaya sebab pada mulanya saya tidak terpilih. Saya mendapat panggilan daripada kru TV3 yang memaklumkan tentang apa telah berlaku pada Wanie. Saya amat bersyukur diberi peluang kali kedua. Sama ada saya ini pilihan pertama atau kedua, ia tidak menjadi isu. Asalkan kita mendapat peluang ini dan gunakannya sebaik mungkin," ujarnya.
Ditanya mengenai apakah strateginya untuk bersaing dengan peserta lain, kata Tisha: "Saya anggap ia sebagai satu cabaran. Tisha berharap dengan peluang ini, Tisha dapat satu platform untuk terus maju."
Tidak berjaya menyerlahkan bakat ketika menyertai Audition, Tisha ditebak dengan soalan sama ada bakatnya juga tidak akan menyerlah biarpun sudah menyertai Mentor 6?
"Dahulu, tiada siapa yang ajar Tisha tentang selok-belok bidang seni. Tisha berharap selepas keluar Mentor 6 ada syarikat yang mampu membimbing dan menguruskan karier Tisha. Alhamdulillah buat masa ini, Tisha sudah menerima tawaran daripada sebuah syarikat rakaman," ungkapnya yang enggan memberitahu lebih lanjut mengenai tawaran tersebut.
Caroline kesayangan Ella
Protege Ella iaitu Puteri Caroline Mohd. Kamel atau Caroline, 20, pula mengakui hubungannya dengan ratu rock itu seperti adik-beradik sehingga boleh berkongsi rahsia sejak mereka bekerjasama.
"Ella seorang mentor yang sangat memahami. Dia sangat terbuka dan saya boleh kongsi apa jua masalah dengannya. Awal-awal lagi semasa saya dipilih sebagai protege, dia sudah memberitahu bahawa dia tidak mahu ada sebarang rahsia di antara kami," kongsi Caroline.
Tambahnya, kehadiran Ella dalam hidupnya juga telah membuatkan dia lebih bersemangat untuk mengejar impian sebagai seorang penyanyi profesional.
"Saya harap sangat Ella akan terus membimbing saya selepas tamat Mentor 6 kelak. Saya juga akan pastikan diri saya akan terus bertahan dalam bidang muzik kerana ini adalah cita-cita saya," ujarnya penuh semangat.
KJ terima kritikan
Protege kepada Adam AF2 iaitu Abdul Kadir Unding Lana atau KJ, 24, pula menjadikan segala kritikan yang diraihnya sebagai suatu kekuatan untuk terus memperbaiki diri untuk sukses.
"Setiap kritikan yang diberikan tidak kira sama ada daripada juri atau peminat saya akan terima. Tak perlu balas dan bermasam muka kerana daripada kritikan itu saya boleh tahu apa kelemahan saya dan memperbaikinya. Bukan mudah untuk menyanyi sambil menari. Ia memerlukan stamina yang tinggi," ulasnya merujuk kepada kritikan yang mendakwa dia kurang berbakat dalam nyanyian berbanding tarian.
Sementelah, dia pernah menyertai program Showdown 2010 dan 2011 masing-masing kletika bersama grup tarian Borneo Crew dan Borneo Soul Breakers.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya, akui KJ: "Buat masa ini memang saya ada perancangan untuk berkolaborasi dengan Adam selepas tamat Mentor 6. Namun jika bidang nyanyian tidak begitu sukses, saya akan buka studio tarian bersama kakak saya."

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images