2,800 Proton Preve ditempah

Tuesday, April 24, 2012



2,800 Proton Preve ditempah | PROTON Holdings Bhd, yang setakat ini sudah menerima 2,800 tempahan untuk kereta global pertamanya, Proton Preve, akan mula memasarkan model itu di Indonesia dan Thailand pada pertengahan tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

“Sejak dilancarkan, kami merekodkan tempahan sebanyak 2,800 unit. Kami mendapat sambutan sangat menggalakkan.
“Ramai yang berpuas hati terhadap reka bentuknya dan ini memberikan kami keyakinan bahawa Proton Preve dapat menembusi pasaran domestik dan insya-Allah ia akan berada di pasaran luar negara menjelang pertengahan tahun ini,” katanya kepada media selepas pelancaran bilik pameran baru Proton Holdings di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Proton Preve akan dipasarkan di Australia menjelang akhir tahun ini.

Syed Zainal yakin Proton Holdings dapat mencapai sasaran jualan bulanan 4,000 unit bagi Proton Preve.

“Saya yakin kami dapat mencapai sasaran itu. Namun, kami mesti mendapat kerjasama daripada institusi kewangan bagi memberi pinjaman kepada mereka yang mahu membeli kereta. Setakat ini, kami memperoleh kerjasama daripada institusi kewangan untuk tujuan itu,” katanya.

Syed Zainal juga berkata, kira-kira RM2.5 juta dibelanjakan untuk menaik taraf bilik pameran Jalan Ampang kepada bilik pameran platinum.
Reka bentuk moden bilik pameran itu dengan muka bangunan menyerong dan dinding tanpa cermin, sinonim dengan gaya baru bilik pameran platinum Proton Holdings di Mutiara Damansara.

Beliau berkata, bilik pameran berkenaan penting memandangkan ia terletak berdekatan kebanyakan kedutaan, dan oleh itu ia mesti berkualiti dan mencerminkan ciri Proton.

Beliau juga berkata, ubah suai bilik pameran itu adalah sebahagian daripada pelan penyepaduan Proton Holdings yang diputuskan dua hingga tiga tahun lalu bagi memastikan kepuasan pelanggan.

Mengikut Syed Zainal, Proton Holdings akan menaik taraf beberapa lagi bilik pamerannya ke tahap platinum.

Proton Holdings mempunyai 201 bilik pameran di seluruh negara.

“Kami sedang menjalankan kajian. Kami mahu menaik taraf beberapa lagi bilik pameran dari semasa ke semasa. Setiap bilik pameran mesti sama. Untuk itu kami mesti melabur,” katanya.

Mengenai sama ada beliau akan kekal sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Syed Zainal berkata: “Saya tidak dapat mengulasnya sekarang. Masanya tidak tepat.” – BERNAMA

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images