TNB raih untung RM2.815 bilion
Friday, April 13, 2012TNB raih untung RM2.815 bilion | TENAGA Nasional Bhd (TNB) kembali meraih keuntungan pada suku kewangan kedua 2012 selepas mencatatkan kerugian bersih untuk tiga sukuan secara berturut-turut sebelum ini.
Syarikat utiliti terbesar negara itu mencatat untung bersih berjumlah RM2.815 bilion untuk suku kedua berakhir 29 Februari 2012, yang mana sebahagian besarnya disumbangkan oleh penerimaan pampasan kos bahan api berjumlah RM2.023 bilion daripada PETRONAS dan kerajaan.
Pengerusinya, Tan Sri Leo Moggie, berkata tanpa pampasan kos bahan api, TNB mencatat keuntungan bersih berjumlah RM1.298 bilion dalam suku dikaji berbanding kerugian bersih RM224.7 juta suku sebelumnya.
Beliau berkata, selain pampasan kos bahanapi, faktor lain mempengaruhi peningkatan prestasi syarikat termasuklah penggunaan lebih rendah bahan api alternatif serta pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia.
Bagaimanapun, katanya, TNB mencatat 0.8 peratus penurunan pendapatan dalam suku dikaji kepada RM8.628 bilion berbanding RM8.694 bilion suku sebelumnya berikutan cuti perayaan.
“Namun begitu, perbelanjaan operasi TNB turut menurun 10.5 peratus kepada RM7.6 bilion daripada RM8.5 bilion ekoran penggunaan rendah bahanapi alternatif,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi suku kewangan kedua syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Presiden yang juga Ketua Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 29 Februari 2012, TNB mencatat keuntungan bersih terkumpul RM2.59 bilion, meningkat 75.6 peratus berbanding RM1.47 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia didorong peningkatan pendapatan sebanyak 14.7 peratus kepada RM17.3 bilion daripada RM15.1 bilion.
Leo berkata, tempoh enam bulan berkenaan menyaksikan perbelanjaan operasi syarikat meningkat 20.5 peratus kepada RM16.1 bilion daripada RM13.4 bilion disebabkan kos penjanaan lebih tinggi akibat penggunaan bahanapi alternatif lebih tinggi, harga purata arang batu lebih tinggi, serta peningkatan penggunaan arang batu.
Harga purata arang batu semasa pada separuh pertama tahun kewangan 2012 berada pada AS$109.3 setan metrik berbanding AS$100 setan metrik separuh pertama tahun kewangan sebelumnya mencerminkan peningkatan 9.3 peratus sepanjang tempoh 12 bulan.
Mengulas pertumbuhan permintaan elektrik di Semenanjung, Leo berkata, analisis pertumbuhan elektrik tahun-ke-tahun menunjukkan pertumbuhan permintaan sebanyak 4.1 peratus, dipacu khususnya oleh sektor komersial dan domestik, masing-masing mencatat pertumbuhan permintaan sebanyak 5.5 peratus dan 5.5 peratus.
“Permintaan dalam sektor industri dijangka naik dalam separuh kedua tahun kewangan 2012, selari arah aliran direkodkan tahun-tahun sebelumnya. Bagi tahun kewangan 2012, pertumbuhan permintaan diunjurkan sebanyak empat peratus hingga lima peratus,” katanya.
Sementara itu, Che Khalib berkata, keputusan pada asas sukuan menunjukkan peningkatan jumlah bekalan gas serta penjanaan menerusi stesen jana kuasa hidro dan ini menyebabkan penurunan dalam penggunaan bahan api alternatif.
Penggunaan minyak, katanya turun 70.7 peratus kepada 79,673 tan metrik dalam suku dikaji berbanding 271,949 tan metrik suku sebelumnya.
Kos keseluruhan minyak ditanggung pada suku dikaji berjumlah RM190.6 juta berbanding RM593.3 juta suku sebelumnya, jelas beliau.
Beliau menjelaskan, pampasan RM2 bilion itu adalah untuk tempoh Januari 2010 hingga Oktober tahun lalu, manakala kos bagi tempoh November 2011 hingga Ogos 2012 akan diteruskan di bawah mekanisme perkongsian sedia ada, itu perkongsian saksama antara TNB, Petronas dan Kerajaan.
“(Operasi) syarikat kembali seperti sebelumnya dan sekarang adalah masa paling sesuai untuk saya berundur dari TNB,” katanya.
0 comment
Assalamualaikum . . Hi peoples . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! !