Sheila Majid Tidak Ambil Botoks Kerana Haram
Thursday, April 26, 2012
Sheila Majid Tidak Ambil Botoks Kerana Haram? KUALA LUMPUR: Penyanyi versatil, Datuk Sheila Majid mengakui tidak pernah mengamalkan pengambilan botoks untuk kelihatan cantik kerana cara itu adalah salah dan haram di sisi agama Islam.
Sheila,47, berkata, suntikan botoks mengandungi bahan yang berbahaya dan boleh memberi kesan sampingan kepada semua wanita yang mengambilnya.
“Kalau kita ambil botoks, kita tidak tahu apa akan jadi kepada wajah kita pada 20 tahun akan datang. Saya menasihati kepada anda semua tidak menggunakan botoks,” katanya.
Sheila berkata demikian apabila ditanya oleh seorang peminat adakah beliau mengambil suntikan botoks untuk kelihatan cantik pada majlis Minggu Setiausaha yang diadakan di Atmosphere 360, Menara Kuala Lumpur, di sini, Rabu.
Kira-kira 200 tetamu menghadiri majlis makan tengah hari itu yang dikendalikan oleh pengacara Dee.
Dalam masa yang sama penyanyi itu turut berkongsi petua untuk kelihatan cergas dengan melakukan senaman serta memilih makanan berkhasiat setiap hari.
Katanya, langkah itu bukan sahaja perlu diterap kepada diri sendiri tetapi juga kepada anak-anak.
“Saya mengajar anak-anak saya supaya mengambil makanan yang berkhasiat agar mereka membesar dengan sihat,” ujarnya.
Terdahulu beliau muncul dengan lagu Dia membuka tirai persembahannya bagi menghiburkan para setiausaha yang hadir bersama bos masing-masing.
Selain lagu itu, Sheila turut menyanyikan lagu Ku Mohon, Can’t Take My Eyes, Legenda, Antara Ayer dan Jakarta, Aku Cinta Padamu, Sinaran dan Warna.
Persembahan Sheila berjaya memikat hati kerana keupayaan beliau berkomunikasi dengan para peminatnya.
0 comment
Assalamualaikum . . Hi peoples . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! !