KRU buka Akademi

Saturday, April 21, 2012

KRU buka Akademi |


KRU buka Akademi
Trio tiga beradik yang bersatu di bawah jenama KRU, sentiasa tampil dengan pelan yang bernas demi memantapkan jenama mereka. Mereka sudah gah meluaskan empayar menerusi KRU Studios di Cyberjaya.

Kini, Kumpulan Syarikat KRU mengambil inisiatif menubuhkan KRU Academy sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf vokasional yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berkaitan industri media dan hiburan.

Majlis pelancaran KRU Academy telah disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif, Multimedia Development Corporation (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali dan turut disaksikan rakan strategik KRU Academy iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Penubuhan Akademi ini turut membabitkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Memulakan operasi 2 Julai ini, Akademi KRU memperkenalkan tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia bagi bidang Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.

Selain tenaga pengajar berpengalaman, KRU Academy juga turut menyediakan perisian komputer yang terkini bagi menghasilkan kandungan kreatif bertaraf antarabangsa.

Kesemua kursus direka khas pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal sejajar perkembangan semasa industri media dan hiburan peringkat global.

Norman selaku Presiden Eksekutif berkata : “Industri media dan hiburan tempatan kini rancak berkembang dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global.

“KRU memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan serta antarabangsa dan produk kami juga telah dieksport ke pasaran dunia. Keperluan pakar dalam bidang animasi ini bukan saja bagi memenuhi keperluan Kumpulan Syarikat KRU tetapi juga untuk majikan lain dalam industri media dan hiburan tempatan,” katanya.

KRU Academy turut mendapatkan khidmat Panel Penasihat daripada pakar dalam dan luar negara iaitu Presiden dan Pengarah Urusan Asia Pasifik, Motion Pictures Association, Michael C Ellis; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Toon Boom Animation, Joan Vogelesang; Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Paduka Shuhaimi Baba; Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Kanan, Rhythm & Hues Malaysia, Hasnul Hadi.

Mereka berminat boleh mohon menerusi www.kruacademy.com mulai 20 April ini atau menghantar e-mel ke hezrey.shariff@kruacademy.com sebelum 31 Mei 2012. Syarat kelayakan ialah lulusan SPM dan mereka mempunyai kemahiran melukis diberi keutamaan. Pemohon juga harus lulus ujian buat warna pada sesi temu duga.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images