Polis maut dirempuh bas
Friday, March 23, 2012Polis maut dirempuh bas | KULAIJAYA - Seorang anggota polis trafik berpangkat Koperal maut selepas dilanggar sebuah bas persiaran ketika sedang bertugas di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, kelmarin.
Kejadian jam 11.55 malam itu mengakibatkan mangsa, Ismayuddin Ismail, 50, anggota yang bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Ketika kejadian, Ismayuddin yang sudah berkhidmat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 20 tahun lalu sedang mengawal aliran keluar masuk kenderaan dari Singapura-Johor Bahru.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, mangsa dilanggar sebuah bas persiaran bernombor pendaftaran Singapura yang hilang kawalan di laluan bas di BSI.
“Kejadian ini berlaku di 200 meter dari pintu masuk BSI. Bas yang dipandu seorang wanita itu bas terlebih dahulu melanggar dua kenderaan lain sebelum melanggar tembok pengadang di tengah-tengah laluan lalu merempuh mangsa, sebelum berhenti di kedudukan 150 meter dari lokasi kejadian.
“Mangsa yang cedera parah akibat pelanggaran ini meninggal dunia di tempat kejadian ketika sedang bertugas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mangsa di Felda Taib Andak, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Amer Awal; Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berserta anggota dan pegawai PDRM negeri ini.
Menurutnya, pemandu bas wanita warga tempatan itu kini ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan rapi akan dijalankan. Berdasarkan semakan rekod dibuat, pemandu bas yang ditahan memiliki satu saman kerana melanggar lampu isyarat.
“Pada hari ini (semalam), saya hadir mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan seluruh warga Polis Johor menyampaikan salam takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.
Selain itu, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya akan membantu mempermudah serta mempercepatkan segala urusan kebajikan balu dan lima cahaya mata mangsa berlandaskan hubungan kekeluargaan yang terwujud dalam pasukan polis di negeri ini.
0 comment
Assalamualaikum . . Hi peoples . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! !