Piala FA: Sime Darby menang tipis 3-2

Friday, March 23, 2012

Piala FA: Sime Darby menang tipis 3-2 | PASUKAN kelab Sime Darby berdepan laluan sukar ke separuh akhir Piala FA selepas hanya mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Johor FC pada saingan suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang hari ini.

Wakil kelab Lembah Klang yang dibimbing jurulatih Ismail Zakaria itu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Azmirul Azmi seawal minit kelima sebelum Razali Umar Kandasamy menambah jaringan pada minit ke-38.

Bersambung babak kedua, Johor FC kembali menyusun strategi permainan dan hasilnya penyerang import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt berjaya merapatkan jaringan pada minit ke-44.

Pemain import dari Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh kembali memberi kelebihan untuk Sime Darby apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-70 sebelum Arthur sekali lagi menjaringkan gol keduanya pada minit ke-85.

Sementara itu, Ismail, yang ditemui pemberita selepas perlawanan, berkata beliau agak kecewa dengan mutu permainan yang ditunjukkan oleh anak didiknya.

"Kita mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada perlawanan hari ini namun ia gagal diterjemahkan oleh pemain saya.

"Saya berharap untuk perlawanan suku akhir kedua nanti, kita mampu menambah jaringan gol untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir nanti," katanya.

Bagi pengurus pasukan Johor FC, Wan Mohd Nizam Wan Omar berkata, beliau memuji permainan yang dipamerkan oleh pasukan lawan.

Katanya, gol awal oleh pasukan lawannya itu sedikit sebanyak mempengaruhi permainan pasukan sehingga menyebabkan pemain hilang konsentrasi untuk mencari gol penyamaan.

Beliau bagaimanapun berkeyakinan skuad Lebah mampu bangkit pada saingan suku akhir kedua di tempat sendiri iaitu Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 27 Mac ini untuk melayakkan diri buat julung kali ke separuh akhir.

Esok, tiga lagi perlawanan suku akhir pertama akan berlangsung melibatkan Terengganu menentang Lions XII dari Singapura di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kedah menentang T-Team di Stadium Alor Setar dan SPA FC menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Bernama

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images