Kedai runcit hangus dalam kebakaran

Friday, March 23, 2012

Kedai runcit hangus dalam kebakaran


Kedai runcit hangus dalam kebakaran | ALOR SETAR - Tidak sampai dua jam sebuah kedai runcit di Taman Selera Mergong ditutup, pemiliknya dikejutkan dengan panggilan yang memaklumkan kedainya terbakar.

Ooi Kee Aik, 67, berkata, kebiasaannya pada setiap Jumaat, beliau akan menutup perniagaan lebih awal iaitu sekitar jam 1.30 petang atau 2 petang.

"Hari ini saya tutup kedai kira-kira jam 2 petang dan pergi ke Alor Setar Mall kerana ada urusan di sana. Tetapi kira-kira jam 4 petang, saya menerima panggilan dari rakan yang memberitahu kedai runcit saya terbakar.

"Saya segera bergegas ke kedai namun tiada apa yang sempat diselamatkan," katanya yang sudah 20 tahun berniaga di situ.

Sementara itu, saksi kejadian, Nor Qolis Rohadi, 22, berkata, beliau bersama rakan datang ke kedai komputer di kawasan itu untuk mencetak tugasan namun terlihat kepulan asap dari kedai runcit berkenaan yang terletak bersebelahan kedai komputer.

"Melihat asap yang semakin banyak, kami terus membantu pemilik kedai komputer memindahkan barang-barang namun tidak dapat membantu pekedai runcit kerana kedai miliknya berkunci," katanya.

Pemilik kedai komputer, Syed Shafie Syed Hassan, 59, berkata, sebaik terhidu bau asap, beliau segera menghubungi bomba dan mengalihkan barang-barang di dalam kedainya.

"Sudah tujuh tahun saya berniaga di sini namun ini kali pertama berlaku kebakaran di bangunan ini," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Penguasa Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.23 petang dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

"Kebakaran ini melibatkan sebuah kedai runcit seluas 1.9 meter persegi X 2.8 meter persegi, yang terletak bersebelahan kedai komputer dan surau Taman Selera Mergong.

"Kita menggerakkan empat jentera bomba dengan kekuatan 14 anggota dan api berjaya dikawal pada jam 4.48 petang, selain itu kita turut mendapat bantuan daripada lima pasukan bomba sukarela dengan kekuatan 50 anggota," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun kebanyakan barang di dalam kedai runcit terbabit, hangus terbakar.

You Might Also Like

1 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images