Peragut Simbah Asid | Balik Rumah Tubuh Berasap

Wednesday, March 28, 2012

Peragut Simbah Asid | Balik Rumah Tubuh Berasap


Peragut Simbah Asid | Balik Rumah Tubuh Berasap | RAWANG: "Tanpa menghiraukan tudung dan pakaian serta beg sekolah yang terbakar, saya lari pulang ke rumah untuk meminta bantuan kerana tidak tahan perit," kata Nur Aqilah Osman, 14, mangsa simbahan asid di pondok menunggu bas di pekan Batu 17 di sini, kira-kira jam 7 pagi semalam.
PEDIH... Safiah Sharif, 48, menunjukkan kesan simbahan asid di bahu anaknya, Nur Aqilah.
PEDIH... Safiah Sharif, 48, menunjukkan kesan simbahan asid di bahu anaknya, Nur Aqilah.

Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 16 itu, dia sedang menunggu bas untuk ke sekolah bersama seorang rakannya apabila terkena asid yang disimbah dua lelaki meragut rantai emas seorang guru wanita yang turut menunggu bas.

"Sebelum kejadian, dua lelaki terbabit dilihat bersandar di palang pondok menunggu bas itu sebelum mereka menegur seorang wanita berumur. Malah, saya juga nampak seorang daripada lelaki terbabit memegang botol tetapi menyangkakan ia minuman.

"Ketika wanita itu sedang bercakap dengan kedua-dua lelaki terbabit tiba-tiba mereka meragut rantai emasnya dan dia cuba melawan tetapi disimbah asid dari botol yang dibawa seorang daripada lelaki itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, malam tadi.
TERBAKAR... Nur Aqilah menunjukkan tudungnya yang berlubang akibat terkena simbahan asid.
TERBAKAR... Nur Aqilah menunjukkan tudungnya yang berlubang akibat terkena simbahan asid.



Nur Aqilah berkata, wanita itu menjerit meminta tolong sambil memegang mukanya yang kemerahan akibat terbakar manakala dia rakan hanya mampu melihat kerana bimbang dicederakan penjenayah terbabit.

"Saya dan rakan cuba lari tetapi lelaki terbabit menyimbah baki asid ke arah kami dan dua lagi orang awam di pondok bas itu sebelum beredar dengan selambanya.

“Cecair itu kena pada belakang bahu saya dan tangan seorang wanita lain," katanya.

Katanya, bapanya, Osman Delisali, 50, menghantarnya ke Hospital Selayang (HS) untuk rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Osman berkata, dia sedang bersiap-siap untuk menghantar adik Nur Aqilah ke sekolah apabila tiba-tiba melihat anak keempat daripada lapan beradik itu pulang dalam keadaan tubuh berasap.

"Saya kehairanan dan bertanya kenapa dia balik rumah semula tetapi Nur Aqilah hanya menjerit dan menceritakan disimbah asid ketika sedang menunggu bas ke sekolah.

"Tanpa membuang masa, saya segera mencurah air ke tubuhnya bagi mengurangkan kepedihan dan meminta bantuan jiran menghantarnya ke hospital," katanya.

Katanya, dia lega apabila doktor yang merawat memaklumkan kecederaan itu tidak serius dan boleh sembuh dengan menyapu krim khas untuk kulit terbakar.

"Mujur anak saya mengelak dan hanya cedera ringan. Saya tidak dapat bayangkan kesakitan dan kesan buruk yang terpaksa dilaluinya jika kecederaannya serius seperti yang menimpa seorang lagi mangsa,” katanya.

Osman yang bekerja sebagai tukang mesin rumput berharap pihak berkuasa lebih kerap meronda di kawasan kejadian dan dua lelaki terbabit segera ditangkap kerana bimbang jenayah sama berulang.

"Penjenayah terbabit memang tidak berhati perut, sudahlah meragut kemudian simbah asid pula," katanya.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti identiti suspek.

Menurutnya, pelajar berkenaan dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di HS manakala seorang lagi mangsa iaitu seorang guru wanita, S Rani, 47, cedera di muka, leher, tangan dan dada serta masih dirawat di hospital sama.

Katanya, mangsa tidak dapat mengecam suspek kerana ketika kejadian hari masih gelap dan ia berlaku dengan pantas. Malah, suspek tidak menaiki kenderaan sebaliknya melarikan diri ke lorong berhampiran.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images