Mat Zan akui kelemahan pasukan Terengganu perlu diperbaiki

Tuesday, March 20, 2012

Mat Zan 

Mat Zan akui kelemahan pasukan Terengganu perlu diperbaiki | KUALA TERENGGANU -- Jurulatih Terengganu Mat Zan Mat Aris mengakui kelemahan barisan pertahanan dan ketumpulan jentera serangan menyebabkan pasukannya tewas 0-2 kepada Kitchee FC dalam saingan kedua Piala
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah petang tadi.

Katanya semangat pemain dan kombinasi pasukan terjejas setelah pasukan lawan memperoleh gol pembukaan pada hujung separuh masa pertama.

"Jaringan pertama itu telah melemahkan sama sekali semangat pemain hingga membuka ruang kepada pasukan lawan menambah jaringan seterusnya.

"Malah saya sudah mengingatkan pemain supaya jangan menghantar bola tinggi memandangkan hantaran sebegitu sukar menembusi benteng pemain Kitchee memandangkan kelebihan fizikal mereka," katanya kepada pemberita semasa sidang media kedua-dua pasukan selepas tamat perlawanan tersebut.

Jelasnya keadaan cuaca yang panas petang ini sama sekali tidak membantu skuad Peteh Ganu Peteh untuk memanfaatkan perlawanan yang disaksikan hampir 10,000 penonton itu.

Beliau berkata skuad Penyu tidak mempunyai rezeki walaupun beberapa peluang gol terhidang di depan gawang lawan dan menganggap kekalahan ini sebagai pengajaran buat pemainnya supaya bersedia menghadapi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, jurulatih Kitchee FC Josep Gombau tidak menduga pasukannya mampu menumbangkan Terengganu 2-0 di tempat lawan kerana meramalkan perlawanan itu seimbang serta faktor cuaca yang panas kurang memihak kepada pasukan itu.

"Walaupun kami menghadapi masalah dalam latihan kerana rumputnya sedikit berlainan dan cuacanya agak panas, saya amat kagum dengan pasukan saya kerana mengalahkan Terengganu.

"Kemenangan hari ini menjadi dorongan kepada kami untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata jurulatih dari Sepanyol itu.

Beliau berkata pasukan Penyu telah menunjukkan permainan yang baik tetapi malangnya tuah tidak menyebelahi mereka.  -- Bernama

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images