Amran Ismail Terkejut Dituduh Dibela Seseorang
Tuesday, March 27, 2012Amran Ismail Terkejut Dituduh Dibela Seseorang | PETALING JAYA: Pelakon Amran Ismail,27, terkejut dengan tuduhan kononnya dibela oleh seseorang selepas dia dilihat memandu sebuah kereta Honda Accord edisi baru dan Pajero di beberapa lokasi penggambaran sebuah drama.
Amran berkata, dua buah kereta itu tidak ditaja tetapi miliknya sendiri yang dibayar hasil wang dalam bidang lakonan.
“Saya terkejut apabila ada pihak menuduh kononnya saya ni dibela oleh seseorang. Puncanya apabila saya memandu kereta Honda Accord yang baru saya beli beberapa bulan lalu di lokasi penggambaran.
“Selain kereta itu saya juga mempunyai sebuah kereta pacuan empat roda itu Pajero,” katanya kepada ketika dihubungi di sini, Isnin.
Amran menjelaskan, kereta Pajero yang dipandunya sebelum ini milik bapanya iaitu Ismail Naim,60, yang diberikan sejak Amran berusia 19 tahun lagi dan akan habis bayaran ansurannya pada bulan Julai depan.
Berikutan itu kata Amran, ibunya Hasnah Fahly,59, mahu menghadiahkan sebuah kereta Honda Accord sebagai menunaikan nazarnya terhadap Amran yang pernah diluahkan beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini lesen saya pernah kena gantung kerana saya melakukan kesalahan lalu lintas. Emak kata kalau lesen saya dah okey, dia nak hadiahkan saya kereta.
“Baru-baru ni emak tunaikan hasrat itu dan saya pilih kereta Honda Accord edisi baru. Tapi kereta itu emak hanya berikan wang pendahuluan sahaja. Ansuran bulanan saya yang bayarkan,” katanya.
Menurut Amran dia kecewa dengan tuduhan tersebut dan berharap masyarakat terutamanya mereka yang berada dalam dunia hiburan tidak menyalahtafsirkan setiap kali melihat seseorang artis itu memiliki kenderaan baru.
Katanya, selama tujuh tahun terlibat dalam dunia seni, adalah tidak salah untuk dia menggunakan wang sendiri bagi membeli apa-apa perkara untuk kepentingan diri.
“Saya sentiasa mendengar nasihat ibu dan bapa saya kerana pada awalnya mereka melarang saya untuk aktif dalam bidang seni. Apabila mereka memberi kepercayaan, saya harus pegang kepercayaan itu. Janganlah buat tuduhan sembarangan,” katanya.
Sementara itu Amran memberitahu dia amat gembira apabila drama bersiri terbaru lakonannya iaitu Cinta Buat Emelda akan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 bermula Isnin (semalam).
Ia menemui penonton pada setiap Selasa hingga Khamis selama sejam bermula pukul 7 malam.
Ujar Amran, drama tersebut amat terkesan pada dirinya kerana dia perlu melakonkan pelbagai karakter berbeza berbanding dram-drama terdahulu.
“Drama ini mengisahkan konflik kekeluargaan yang beraku dalam keluarga saya bersama dua orang kakak kembar. Saya tidak mengiktiraf hubungan dengan salah seorang kakak kembar saya kerana menganggap dia mempunyai seorang anak luar niklah,” ujarnya.
Tambah Amran, karya tersebut telah menguji kemampuannya untuk menangis selain perlu membawa watak romantik dan juga menjadi seorang yang tegas. Dia turut berlakon bersama Almy Nadia dan Diana Amir.
Dalam perkembangan lain Amran banyak menghabiskan masa lapangnya dengan melakukan aktiviti mengayuh basikal di sekitar kawasan ibu kota untuk menguatkan stamina.
0 comment
Assalamualaikum . . Hi peoples . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! !