Shaheizy Sam terima tawaran Mamee kerana mummy

Tuesday, May 22, 2012


Shaheizy Sam dengan ibunya, Kathy Fauziah
Shaheizy Sam dengan ibunya, Kathy Fauziah
Hubungan rapat aktor Shaheizy Sam dengan ibunya, Kathy Fauziah sudah diketahui umum. Malah tatkala dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 2010 tahun lalu, Sam tidak segan silu mengundang ibunya untuk turut berada di atas pentas.

Bukan senang untuk seorang anak lelaki menunjukkan kasih sayang kepada ibunya. Namun bagi aktor yang mesra disapa Sam ini, dia tidak kisah gelaran anak mak diberikan oleh orang lain kepadanya kerana baginya, kasih sayang seorang ibu tidak ternilai.

Menganggap doa ibunya selama ini yang menjadikannya sampai ke tahap seperti ini, Sam berbangga dikurniakan ibu yang begitu menyokong kerjaya dan memberi semangat kepadanya pada saat susah dan senang.

Malah, kasih sayang Sam kepada ibunya itu diintai oleh Mamee yang kebetulan mencari duta baru untuk jenama mi segera ini.

Sesuai dengan kempen terbaru mereka yang bertemakan menyentuh hati bagi mengangkat kasih ibu dan anak, Mamee memilih Sam sebagai jurucakap produk baru mereka kerana tersentuh melihat kasih sayang Sam kepada ibunya.

Tidak melepaskan peluang yang ada, Sam yang hadir bersama ibunya di majlis sambutan Hari Mameeku Sayang di Mydin USJ, Subang Jaya, baru-baru ini berkata, kempen yang dilancarkan oleh jenama produk itu membuatkannya tertarik untuk menerima pelawaan mereka sebagai duta.

Tambahan pula, secara kebetulan panggilannya kepada ibu tersayang yang digelar mummy itu sama dengan nama produk mi segera berkenaan.

“Kebetulan nama produk Mamee sama dengan nama panggilan saya untuk mummy. Jadi signifikan dengan tema mereka yang mendekatkan lagi hubungan ibu dan anak, saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran mereka menjadi duta.

“Lebih-lebih lagi, aktiviti dan perancangan yang mereka aturkan dapat merapatkan lagi hubungan saya dengan ibu,” katanya yang mengikat kontrak setahun menjadi duta Mamee.

Sempena sambutan Hari Ibu yang lalu, Sam turut memberikan kejutan dengan menghulur sejambak bunga dan kek kepada ibunya.

Malah pelakon Adnan Sempit ini juga turut berkongsi rasa meluahkan ucapan hari ibu di hadapan peminat-peminat yang hadir.

Selain itu, majlis tersebut turut diserikan lagi dengan tayangan eksklusif klip video nyanyian Sam yang berjudul Tiada Yang Sebaik Kasih Ibu yang menjadi iklan komersial rasmi untuk Mamee.

Sementara itu, Mummy Kathy yang ditemui berkata, sebagai ibu dia berbangga memiliki anak seperti Sam yang sering melebihkannya dalam setiap hal.

“Semua ibu pasti akan bercakap perkara yang baik mengenai anak-anak mereka. Jadi, saya tidak mahu terlebih-lebih memuji anak sendiri. Apa yang boleh saya katakan Sam seorang anak yang sayang dan hormat kepada ibunya.

“Mungkin ramai yang lihat Sam seperti anak mak, tetapi sebenarnya dia yang sering memanjakan mummy,” katanya sambil memberitahu kejutan termahal yang diterima daripada Sam ialah kereta Volvo S40.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images