PLKN: Syor wajib setiap pelajar perlu kajian

Friday, May 25, 2012


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
BAGAN DATOH - Cadangan mewajibkan semua pelajar lepasan sekolah menengah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia membabitkan kos hampir RM1 billion setiap tahun.
  
Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM260 juta bagi melatih 120,000 pelatih setiap tahun.
  
"Kalau kita bersetuju dengan cadangan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) ini, ertinya kita akan membelanjakan empat kali ganda untuk melatih 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di PLKN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SM) Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi MLKN Datuk Dr Tiki Lafe supaya pelajar lepasan sekolah menengah menyertai PLKN.
  
Beliau dilaporkan berkata jika cadangan itu dipersetujui sekurang-kurangnya 500,000 pelatih akan terlibat untuk satu tahun.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata antara perkara yang perlu diteliti ialah adakah kem sedia ada mampu menampung pertambahan jumlah peserta.
  
Justeru itu, beliau meminta MLKN menyediakan satu memorandum untuk dikemukakan kepada Kabinet.
  
"Saya fikir cadangan ini harus diteliti dengan sebaik-baiknya dan jika pihak kerajaan bersetuju kita akan mencari jalan untuk memenuhi kehendak itu demi kepentingan negara," katanya.
  
Beliau berkata jika kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, ia mungkin dilaksanakan tahun depan memandangkan ia melibatkan penyediaan infrastruktur bagi menampung pertambahan peserta. - Bernama

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images