FELDA perlu dana untuk pengurusan, tanam semula

Friday, May 11, 2012

FELDA perlu dana untuk pengurusan, tanam semula? KUALA LUMPUR: FELDA semalam menjelaskan lebihan perolehan daripada penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) akan digunakan agensi itu untuk pembangunan, pengurusan dan tanam semula.

Pengerusinya, Tan Sri Isa Abdul Samad, berkata lebihan itu adalah milik mutlak FELDA dan terpulang kepada pengurusan untuk menggunakannya sebaik mungkin bagi memastikan nasib peneroka terus terbela.
“Saya tak dapat sebut berapa jumlah FELDA dapat. Tapi dari segi logik dan jika difikir secara rasional, jika RM1.6 bilion durian runtuh, maka bakinya pastilah milik FELDA. 

“Jika tidak bagaimana nak uruskan FELDA,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan produk baru lepa mentega kacang dan koko keluaran anak syarikat FELDA, Delima Oils Product Sdn Bhd di sini, semalam.

Isa mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli, kelmarin yang mempersoalkan pemberian durian runtuh RM15,000 kepada setiap peneroka, padahal perkiraannya menunjukkan peneroka sepatutnya dapat RM50,000.

Rafizi berkata, perkiraannya berdasarkan prospektus penyenaraian FGVH bahawa FELDA bakal memperoleh RM5.6 bilion menerusi tawaran 1,208,890,900 saham pada harga RM4.65 sesaham, manakala FGVH mendapat suntikan dana tambahan RM4.557 bilion melalui tawaran 980,000,000 saham. 
Isa berkata, perolehan FELDA daripada penyenaraian akan diumumkan selepas proses penyenaraian awam selesai.

“Baki itu kita akan umum kemudian. Sebenarnya kita belum tahu. Mereka persoal ke mana pergi duit itu dan membuat pelbagai tuduhan tidak baik terhadap kerajaan dan parti memerintah.

“Tapi soalan itu (pembangkang) begitu bodoh sekali kerana bila kita katakan RM1.6 bilion untuk peneroka, takkan kerajaan dan parti politik nak ambil pula. Kita akan disenaraikan dan bukan mudah untuk keluarkan duit. 

“Pembangkang kata kita nak guna untuk pilihan raya, mana boleh, kerana duit itu akan diaudit nanti dan macam mana pula kita nak terangkan kepada pemegang saham.

“Pembangkang sudah mengganggu peneroka FELDA sejak pilihan raya umum 1959 lagi dan peneroka sendiri pun memang arif dengan kerja kotor mereka.

“Pembangkang akan datang dekat pilihan raya untuk mengelirukan pemikiran peneroka, ini bukan baru,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh RM15,000 untuk setiap peneroka membabitkan lebih RM1.6 bilion serta beberapa insentif lain berikutan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia, hujung bulan depan.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images