­

Suki Tuntut Syarikat Rakaman Bayar RM367 Ribu Kerana Langgar Janji

Tuesday, May 22, 2012


Suki
PETALING JAYA: Syarikat rakaman Galaxy Music Sdn Bhd didakwa melanggar janji membabitkan pemasaran album penyanyi Suki Low Sook Yee di Taiwan bernilai RM367,000.
Dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dekat sini, Isnin, peguam penyanyi itu, Yudistra Darma memberitahu pihaknya menyedari berlakunya transaksi yang tidak berpatutan dan salah nyata membabitkan urusan penghasilan dan pengeluaran keluar masuk wang bagi penghasilan album yang berjudul Ladies Night.
"Tindakan ini diambil disebabkan anak guam saya berasa teraniaya kerana syarikat rakaman terbabit telah melanggar perjanjian membabitkan pemasaran album di Taiwan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Isnin.
Sementara itu, Suki yang dihubungi berkata, dia berasa kecewa dengan syarikat tersebut yang dinaunginya sejak tahun 2009, kerana memberikan janji palsu berkaitan pelan pemasaran album tersebut.
"Mengikut perjanjian yang dibuat, pihak Galaxy berkata, pembikinan Ladies Nightsememangnya khas untuk pasaran di Taiwan, namun setakat ini ia hanya dijual dalam negara sahaja.
"Ketika ditanya mengenai perkembangan album tersebut, mereka memberi pelbagai alasan dan menangguhkan perancangan asal seperti yang dibincangkan sebelum ini.
"Dan apabila ia ditangguhkan, segala perancangan berkaitan promosi di Taiwan tidak dapat dilaksanakan," ujarnya.
Tambah Suki, lebih mengecewakannya apabila wang yang dilaburkan itu merupakan sebahagian daripada wang kemenangannya berjumlah RM1 juta pada pertandingan One In A Million musim pertama (OIAM).
"Apabila memenangi jumlah wang yang besar, harapan saya adalah hanya ingin menggunakan hadiah tersebut untuk pelaburan karier.
"Malang sekali, hal ini pula yang timbul dan saya sangat kecewa dan berharap supaya wang itu dapat dikembalikan," katanya.
Dalam pada itu, memandangkan dia mempunyai masalah dengan Galaxy, segala aktiviti seninya di Taiwan terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Perbicaraan kes berkenaan yang bermula Isnin dijadualkan berlangsung sehingga Khamis ini.
Suki memfailkan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dekat sini pada Disember 2011.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images