Nabila Huda, Shah Iskandar bertemu dalam Nikallaya

Tuesday, May 22, 2012


Nabila dan Shah mudah mencipta keserasian - foto Azmi Aryanto, Sinar Harian
Nabila dan Shah mudah mencipta keserasian - foto Azmi Aryanto, Sinar Harian
Salah satu adegan dalam Nikallaya. foto Azmi Aryanto, Sinar Harian
Salah satu adegan dalam Nikallaya. foto Azmi Aryanto, Sinar Harian
Walaupun pelbagai dugaan yang ditempuhi pasangan suami isteri, Nikallaya dan Munir, ternyata kekuatan cinta sejati mereka akhirnya membawa kepada kebahagiaan.

Demikianlah serba sedikit episod cinta yang dilalui dua pelakon popular, Nabila Huda dan Shah Iskandar menerusi drama bersiri Nikallaya yang akan ditayangkan di TV Alhijrah, bermula 12 Jun ini, jam 8.30 malam.

Biarpun intipati utama drama tersebut mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita Thailand bernama Nikallaya lakonan Nabila, namun elemen cinta yang diselitkan menambahkan lagi kekuatannya.

Diarahkan oleh pengarah yang semakin meningkat naik, Aidil Fitri Mohamad Yunos, drama 14 episod ini mengangkat kisah Nikallaya yang berdepan dengan pelbagai musibah selepas menderhaka kepada ibunya.

Hidup Nikallaya kembali bersinar setelah bertemu dengan jejaka dari Indonesia bernama Munir (lakonan Shah) yang kemudian menjadi suaminya.

Bagaimanapun, ternyata Nikallaya belum terlepas daripada dibelenggu kesedihan apabila terpaksa berpisah dengan Munir dan anak mereka, Malik, lebih setahun atas sebab tidak dapat dielakkan.

Nikallaya pasrah dan menganggap perkara terjadi adalah kifarah dosa-dosanya, sebelum akhirnya dia dipertemukan kembali dengan Munir dan Malik di hujung cerita.

Selain kelainan menjalani penggambaran di Kedah dan daerah sekitar Thailand seperti Hatyai, Songkhla dan Phattalung, tentunya gandingan Nabila dan Shah menjadi tarikan drama ini.

Ikuti kisah menarik kedua-dua pelakon ini sepanjang menjalani penggambaran Nikallaya.


Nabila cakap bahasa Thailand

Ini bukan lakonan pertama Nabila yang memerlukannya bertudung, namun uniknya di dalam Nikallaya dia perlu bercakap dalam bahasa Thailand untuk beberapa babak.

Watak Nikallaya digambarkan sebagai seorang wanita beragama Islam yang ingin menyertai pertandingan ratu cantik Thailand, tetapi mendapat tentangan ibunya.

Selepas mengalami kemalangan dan kematian ibunya, Nikallaya insaf dan berhijrah ke Kedah untuk memulakan hidup baru dan akhirnya berkahwin dengan Munir.

Menurut Nabila, dia memperuntukkan beberapa hari untuk lebih mendalami bahasa Thailand dengan bantuan seorang tenaga pengajar dari negara itu.

“Agak rumit untuk bercakap bahasa ini kerana lenggoknya yang jauh berbeza dengan bahasa Melayu, malah ada beberapa perkataan yang saya perlu ulang beberapa kali agar sebutannya betul.

“Malah, semasa penggambaran, ada kalanya saya terpaksa bergantung kepada kertas yang dipegang oleh krew di depan kamera agar tidak terlupa skrip,” katanya.


Belum sedia bercinta lagi

Tidak menghadapi masalah untuk bergandingan dengan Shah sebagai suami isteri, Nabila menyifatkan pasangannya dalam Nikallaya itu sebagai seorang yang berbakat.

“Shah adalah pelakon yang bagus walaupun kehadirannya dalam industri tempatan mungkin masih baru.

“Saya seronok dapat bekerjasama dengan dia dan saya percaya Shah boleh melangkah jauh jika diberi peluang,” ulasnya.

Di lokasi penggambaran, sebagai Nikallaya dia sudah menemui cintanya. Namun, di luar lokasi, jelas Nabila, dia masih belum bersedia untuk bercinta lagi setelah kecundang dalam perkahwinannya sebelum ini.

“Buat masa ini, banyak lagi perkara lain yang saya perlu fikirkan berbanding bercinta.

“Lagipun, dengan status sebagai ibu tunggal, bukan mudah untuk saya bercinta dalam masa terdekat,” kata ibu kepada Keisha Laila, 2, ini.

Berkaitan hubungannya dengan pelakon Juvana, Johan Asaari, yang hangat diperkatakan, Nabila menafikan mereka bercinta.

“Seperti yang dijelaskan sebelum ini, kami hanya berkawan rapat dan sering berhubung antara satu sama lain.

“Saya selesa dengannya kerana dia rakan yang baik tetapi bukan bermakna kami menjalin hubungan cinta,” tegasnya.

Bagaimanapun, sekiranya diizinkan ALLAH SWT bertemu jodoh lagi, Nabila mengimpikan lelaki yang tidak terlibat dalam bidang hiburan sepertinya.


Shah tonton sinetron

Jika Nabila berdepan cabaran belajar bahasa Siam, lain pula halnya dengan Shah yang terpaksa ‘menukar’ lidahnya berbicara dalam bahasa Indonesia.

Memegang watak sebagai Munir yang berasal dari Acheh, Indonesia, Shah mengakui drama Nikallaya memberi cabaran baru buatnya sebagai pelakon.

“Biarpun bahasa kita dengan bahasa Indonesia dari rumpun sama, saya masih perlu membuat ‘homework’ agar kelihatan betul-betul fasih.

“Mujurlah bahasa Indonesia tidak banyak perbezaan dengan bahasa Melayu, jadi sedikit sebanyak ia membantu saya,” katanya yang belajar sendiri bahasa tersebut dengan menonton sinetron yang ditayangkan di kaca televisyen.

Berkenaan gandingannya dengan Nabila, menurut Shah, dia tidak sukar mencipta keserasian dengan anak vokalis Search, Amy itu kerana mereka sudah saling mengenali sebelum ini.

“Saya pernah berlakon dengan Nabila beberapa kali, tetapi ini kali pertama kami bergandingan sebagai hero dan heroin.

“Bekerja dengan Nabila sangat mudah kerana dia seorang yang gila-gila tetapi sangat komited apabila berlakon.

“Sebelum melakonkan adegan berdua, kami akan berbincang terlebih dahulu agar keserasian itu terserlah di depan kamera,” katanya yang turut meminta tunjuk ajar daripada Nabila yang lebih senior.
Sehebat Aaron Aziz?
Harus diakui, populariti dimiliki Shah kini mula mendadak naik lantaran pelbagai drama lakonannya ditayangkan di kaca televisyen.

Semakin menjadi pilihan penerbit dan pengarah, ramai yang menggelar Shah sebagai pelapis hero Malaya bersama rakan seangkatannya seperti Shahrizal Jaszle dan Johan Asaari.

Tidak kurang juga ada yang mengatakan dirinya bakal menggantikan aktor popular, Aaron Aziz memandangkan mereka berasal dari negara sama iaitu Singapura.

Saat diajukan persoalan itu, jejaka tampan ini hanya mampu tergelak sambil menyatakan masih terlalu awal untuk mengecop dirinya sebagai pengganti Aaron.

“Bagai langit dengan bumi jika mahu membandingkan saya dengan Aaron kerana dia sendiri mengambil masa lama untuk membina nama dalam industri.

“Sedangkan, saya masih terlalu baru. Namun, sekiranya ada rezeki dan peluang tentunya saya mahu menjadi lebih hebat daripada dia,” tuturnya optimis.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Shah sebenarnya juga mempunyai bakat di dalam bidang pengacaraan dan aktif menjadi hos ketika di Singapura.

Bagaimanapun, jelas Shah, buat masa ini, dia mahu memberi fokus karier lakonannya di Malaysia secara serius.

“Pengacaraan adalah ‘makanan’ saya berbanding lakonan yang masih saya pelajari selok beloknya.

“Sekiranya ada tawaran mengacara mungkin saya tidak menolak, akan tetapi, biarlah saya membina nama sebagai pelakon dahulu di sini,” katanya yang turut mengimpikan untuk berlakon di layar lebar.

Kini lebih banyak menghabiskan masa di Malaysia, sesekali Shah akan pulang ke negara asalnya untuk memenuhi tawaran seni di sana.

Sempat di provokasi dengan isu kewarganegaraan pelakon luar yang agak ‘panas’ tika ini, secara diplomasi Shah melontarkan pandangannya.

“Saya anggap rezeki saya sudah tertulis di negara ini dan mengapa tidak untuk saya membina kerjaya yang stabil di sini.

“Lagipun, peluang bekerja di Malaysia terbuka luas, malah peminat juga dapat menerima saya dengan baik,” kata aktor berusia 30 tahun ini.


Harapan untuk Nikallaya

Di akhir bicara, kedua-dua tunjang utama Nikallaya ini tidak lupa menitipkan pesanan buat peminat agar menonton drama yang penuh kelainan ini.

Bagi Shah, pertembungan pelbagai budaya dan bahasa dalam Nikallaya menjadikannya sebagai satu naskhah istimewa.

“Jarang kita dapat lihat drama yang menggabungkan empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Siam, Indonesia dan Pattani.

“Inilah keistimewaan Nikallaya selain sisi berbeza lakonan saya yang memegang watak lelaki warak,” katanya.

Sementara, Nabila melihat kekuatan Nikallaya terletak pada jalan ceritanya yang diangkat daripada kisah benar.

“Banyak pengajaran yang diselitkan dalam drama ini terutamanya daripada watak Nikallaya itu sendiri.

“Biarpun pernah tersasar, Nikallaya berjaya kembali ke jalan Tuhan dan menemui kebahagiaan yang dicarinya selama ini,” akhirinya.

You Might Also Like

1 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images