Usia bukan penghalang

Wednesday, April 25, 2012


Usia bukan penghalang
Usia bukan penghalang | PELAKON, penyanyi dan pengacara cilik, Shafimie Saedon , 14, atau lebih dikenali sebagai Fimie Don bukan nama asing dalam dunia hiburan tempatan.
Anak bongsu kepada Saedon Abdul Rani, 52 dan Zubaidah Hashim, 47, ini kini giat melakukan kempen kesedaran terhadap pemuliharaan penyu, haiwan yang semakin pupus.
Terpilih sebagai jurucakap kepada kempen, Tioman Island Clean-up Day 2012, edisi keempat anjuran Berjaya Hotel & Resorts di Pulau Tioman, baru-baru ini, Fimie , menyampaikan ceramah kesedaran di hadapan 50 kanak-kanak dari Sekolah Kebangsaan Tekek, Pulau Tioman.
Penyampaian bersahaja itu berjaya membuatkan semua murid terhibur dan memberi kesan mendalam di samping pertandingan membuat penyu dari pasir dan kempen pembersihan pantai berlangsung dengan lancarnya.
“Saya hanya membuat persediaan kurang sejam apabila diminta untuk memberi penerangan kepada rakan sebaya, saya juga gembira kerana dapat mengajar mereka membuat origami penyu yang dibimbing oleh Pengasas Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia, Profesor Chan Eng Heng.
“Kesedaran saya mulai meningkat selepas mendengar penerangan mengenai kepupusan ikan yu dan penyu, malah saya menyeru rakan-rakan dan peminat serta rakan artis supaya berhenti menikmati sup sirip ikan yu dan telur penyu, “ kata pelakon drama bersiri Hikayat Putera Shazlan di Saluran Astro Ceria.
Fimie berkata, kedua-dua haiwan ini mengambil masa lama untuk mengekalkan evolusi dan membiak.
“Sedih melihat ikan yu yang dipotong sirip dan bangkainya dibuang semula ke laut serta penyu yang bertelur dan telurnya diambil manusia.
“Bagaimana jika perkara itu berlaku terhadap diri kita, sudah ia amat menyedihkan,” katanya yang pernah membintangi filem Magika.
Bercerita panjang mengenai perjalanan karier pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara ini, Zubaidah adalah orang bertanggungjawab sebagai ibu, pengurus dan rakan untuknya.
Zubaidah berkata, sepanjang menguruskan kerjaya Fimie, tidak sekalipun anaknya itu mengabaikan pelajaran, malah seusia lima tahun dia telah tahu menulis namanya.
“Hanya beberapa tahun berkecimpung dalam dunia hiburan Fimie telah membeli sebuah rumah buat kami sekeluarga. Dia juga turut meringankan beban keluarga terutama membantu adik-beradiknya yang masih menuntut di kolej, “ katanya yang pernah menitiskan air mata ketika anak kesayangannya itu pengsan di lokasi penggambaran.
Fimie yang juga duta kecil World Wild Federation (WWF) Malaysia sejak dua tahun lalu, giat melakukan aktiviti kempen mengenai kesedaran pemuliharaan alam sekitar dan haiwan kepada kanak-kanak sebayanya.
Dia kini sedang giat melakukan penyelidikan dengan memperbanyakkan membaca buku-buku tentang kehidupan harimau, ikan yu dan penyu.
“Saya membuat penyelidikan melalui rancangan Animal Planet, National Geography’ dan ia adalah salah satu rancangan kegemaran saya, “ katanya yang tidak suka menonton kartun sejak dari kecil lagi.
Diakui oleh ibunya, Fimie suka mendekati haiwan berbisa yang dianggap sebagai kawan.
“Kadang-kadang saya risau juga dengan perangainya yang suka memegang beberapa jenis haiwan berbisa, namun di sebalik keberaniannya dia juga harus buktikan yang haiwan ini sebenarnya adalah teman dan sebahagian daripada ciptaan tuhan. “ katanya.
Fimie yang telah membintangi lebih daripada 50 drama TV, 30 iklan dan enam filem turut pernah menghasilkan dua single bertajuk ‘Bintang-Bintang’ dan ‘Untuk Mama & Papa’.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images