Masih terkejut, Zahida tak harap tajaan

Sunday, April 29, 2012


Zahida Rafik
Zahida Rafik
SEJAK seminggu lalu, nama Zahida Rafik hangat diperkatakan setelah Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mendedahkan sebuah laporan polis yang mendakwa aktres itu mempunyai hubungan istimewa bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal.
Berdasarkan laporan polis bertarikh 13 Mac lalu, yang dibuat Noor Azman Azemi mendakwa Zahida telah menerima wang hampir RM1.5 juta daripada Shafie Apdal, sejak Oktober hingga Januari lalu.
 
Bagaimanapun, Zahida yang dihubungi Zass menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat ahli parlimen pembangkang itu dan mengakui terkejut dengan penghebahan cerita tersebut.
 
“Sejujurnya saya terkejut dengan kontroversi dan tohmahan tidak berasas yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab kepada saya. Sebelum ini saya hanya buat laporan polis mengenai wang saya yang dilarikan, tapi kini saya pula yang dikaitkan.
 
“Selama ini saya bekerja keras untuk mendapatkan hasil seperti yang saya dapat sekarang dan senang-senang pula ada pihak mendakwa saya menerima wang daripada VIP.
 
“Mula-mula memang saya rasa tertekan bila nama saya dikaitkan dengan cerita sebegini. Tetapi saya ambil ia dari sudut positif dan saya pasti apa yang berlaku ini pasti ada sebabnya. Semoga kebenaran akan terbukti juga suatu hari nanti,” jelasnya.
 
Zahida berkata, dia kini menyerahkan perkara ini kepada peguamnya, Datuk Seri Shafee Abdullah untuk tindakan selanjutnya.
 
“Peguam saya sudah menghantar dua surat saman, satu kepada Zuraida dan satu kepada Azman dan kita kini hanya menunggu untuk naik ke mahkamah sahaja,” katanya.
 
Menurut laporan sebuah portal, Zuraida mengakui sudah menerima notis saman yang dihantar melalui peguam Zahida, bertarikh 23 April itu yang menuntutnya agar berhenti membuat kenyataan media, menarik balik kenyataan terdahulu serta memohon maaf dalam masa tujuh hari.

 
Tak ambil pusing
 
Biarpun dikecam hebat oleh pengikut di laman sosial Twitter miliknya, Zahida berkata, dia sedikit pun tidak berasa tertekan dengan tohmahan itu.
 
“Walaupun ada sesetengah pihak yang mengecam saya, yang menuduh saya yang bukan-bukan, saya tidak pun berasa tertekan. Ini kerana masih ada peminat yang sudi memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuk saya.
 
“Lagi pula, saya yakin berada di pihak yang tidak bersalah. Tidak ada apa-apa yang perlu saya takutkan. Malah keluarga dan teman rapat turut beri sokongan moral,” katanya.
 
Menyentuh mengenai hubungannya dengan menteri tersebut, Zahida berkata, dia tidak mengenali Shafie Apdal secara peribadi dan tidak punya apa-apa hubungan istimewa.
 
“Buat masa ini peguam saya menasihatkan saya untuk tidak memberi sebarang kenyataan sehingga masa yang sesuai. Namun saya tegaskan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan beliau dan saya masih belum berkahwin,” jelasnya.
Berlakon, berniaga
 
Mengimbau penglibatannya dalam bidang seni, wanita berdarah kacukan Melayu-Pakistan ini mula melibatkan diri dalam industri seni semenjak akhir 1990-an lagi. Mula dikenali menerusi filem Senario The Movie menerusi watak jururawat pada tahun 1999, nama Zahida semakin mendapat perhatian setelah membintangi Mami Jarum pada 2002.
 
Selain itu, Zahida pernah membintangi beberapa filem antaranya Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Black Maria, Mami Jarum Junior, dan Anak Mami The Movie.
 
Tidak sekadar berbakat dalam bidang lakonan, Zahida mempunyai syarikat produksi Chilli Picture dan dan pernah menerbitkan sebuah filem secara usaha sama dengan sebuah syarikat produksi Indonesia Nobel Benchmark Sdn. Bhd, berjudul May tahun 2009.
 
Zahida menerusi syarikatnya menerima kontrak untuk menganjurkan kempen Belilah Barang-Barang Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jun 2010.
 
Sementara itu, Shafie Apdal pada 23 April lalu, secara terbuka menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan bekas pemandunya yang mengaitkan beliau dengan pembayaran wang dalam jumlah yang besar kepada Zahida.
 
Dalam satu kenyataan dikeluarkan beliau berkata, segala maklumat yang disebutkan dalam laporan polis yang dibuat oleh Azman pada bulan lalu, adalah tidak benar sama sekali.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images