Shiha Janji Ingin Baiki Kekurangan

Monday, March 26, 2012

Shiha Janji Ingin Baiki Kekurangan


Shiha Janji Ingin Baiki Kekurangan | Baru sahaja melangkah ke dunia pengacaraan, nama naib juara rancangan realiti, Mentor 5, Shiha, mula hangat diperkatakan.

Namun, percaturan stesen televisyen, TV3, yang menampilkan Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 25, untuk menggantikan posisi Qushairy atau Qi, menerusi rancangan Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan penonton.

Bukan dihambur dengan kata-kata pujian, malah Shiha terpaksa menerima kritikan hebat daripada penonton dan juga peminat rancangan itu. Baru sahaja memasuki episod ketiga, namun Shiha mahupun pasangan hosnya, Iqbal Mazlan dilihat tidak mampu memikat hati penonton.

Tidak cepat melatah dengan komen ‘pedas’ yang diberikan, Shiha bagaimanapun sangat profesional dan cuba melakukan yang terbaik.

Jelas Shiha, kritikan itu bukanlah perkara di luar jangkaan, malah di awal pembabitan lagi, dia perlu bersedia untuk segala kritikan dan komen negatif.

“Sebenarnya, saya tidak pernah baca komen-komen yang diberikan. Saya hanya tahu menerusi rakan yang menghubungi saya. Saya akui, di awal kemunculan, memang ada beberapa perkara yang kurang memuaskan.

“Lagipun, ini adalah kali pertama saya diberi peluang untuk jadi pengacara. Saya masih baru, berilah peluang kepada saya untuk belajar daripada pengalaman. Pengacaraan adalah bidang yang saya impikan sejak sekian lama. Jadi, sudah tentunya saya inginkan yang terbaik.

“Saya akan cuba berusaha memperbaiki kekangan yang ada. Saya masih lagi baru ‘bertatih’. Terima kasih kepada yang sudi menegur, Shiha mengambil teguran itu secara positif. Shiha juga banyak belajar dan buat homework dengan menonton rancangan talk show yang ada, “ katanya yang tidak pernah patah semangat untuk terus maju dalam bidang itu.


Bawa ubat alahan

Bukan senang untuk pelantun lagu, Bila Bertemu Mu, ini memulakan karier sebagai pengacara kerana rancangan JJCM meletakkan tiga peringkat saringan sehingga layak dipilih mengendalikan rancangan itu.

Jelas Shiha, dia terpaksa menyertai uji bakat itu di awal saringan, sama seperti peserta lain walaupun dia pernah bergelar naib juara Mentor 5.

“Ramai yang tak tahu saya menyertai uji bakat terlebih dahulu. Bukan senang saya jadi pengacara kerana bukan JJCM sahaja, saya turut hadiri uji bakat rancangan lain. Namun, rezeki saya di JJCM.

“Kalau ada yang beranggapan saya suka kontrol makan dan disaluti mekap tebal, itu adalah arahan daripada krew dan juga penerbit. Bukan saya yang minta. Saya terpaksa makan sedikit sahaja kerana dalam sehari, saya kena kunjungi tiga restoran.

“Saya memang seorang yang suka makan tetapi alahan pada makanan laut. Tapi, demi JJCM, saya terpaksa makan dan membawa ubat alahan ke lokasi penggambaran. Jadi, macam mana boleh timbul isu saya demand dan tidak suka dengan makanan?,” katanya yang bakal membuat perubahan pada JJCM episod kelima.

Katanya, untuk episod tiga dan empat, ianya sudah siap disunting, jadi perubahan akan dibuat pada episod lima. Shiha berharap agar penonton bersabar dengan pembaharuan itu.

“Penerbit sepakat untuk mengubah konsep yang sebelum ini tidak disukai penonton. Walaupun, kekal dalam keadaan santai, tapi kami dikehendaki kunjungi lima restoran dalam sehari.


“Masa yang ada semakin terhad untuk kami dalam episod yang akan datang. Dalam episod itu, secara tidak langsung, saya akan menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan saya geli pada makanan.

“Kami akan makan makanan eksotik dan ikan mentah begitu sahaja. Saya sangat sedih bila episod saya kena makan sup belut, ada yang kata saya geli pada makanan. Bukan geli makan sup belut, tapi saya takut belut yang masih hidup. Itu sahaja, kalau tak percaya, boleh tengok siaran ulangan episod itu,” katanya yang mengakui sentiasa bersenam untuk mengekalkan susuk badannya.


Selesa bersama Iqbal

Berpeluang bergandingan bersama Juara Pilih Kasih, Iqbal Mazlan, Shiha mengaku tidak banyak perkara berbangkit kerana Iqbal sendiri memahami peranannya dalam JJCM.

Menurut Shiha, setakat ini, tiada masalah untuk terus bersama Iqbal dan ada kalanya, mereka sama-sama berbincang dan menegur kelemahan yang ada.

“Saya selesa bersama Iqbal dan senang bekerja dengannya. Dia seorang yang profesional dan tidak sukar untuk menerima pandangan orang lain. Kami sama-sama berbincang untuk mengatasi rasa ‘canggung’ ketika mengacara.

“Jika dibandingkan saya dengan Iqbal, Iqbal lagi berpengalaman dan lebih hebat. Jadi, saya juga banyak belajar daripadanya. Malah, dia tidak lokek kongsi pendapat.

“Untuk musim ini, saya hanya menandatangani kontrak bersama TV3 untuk 13 episod sahaja. Jika ada kesempatan menyambung kontrak, saya akan teruskan. Tetapi, kini jadual saya memang padat kerana dalam masa yang sama, saya sedang mempromosikan single terbaru, Jangan Lagi Jauh, ciptaan sepenuhnya oleh Kunci Demak,” katanya.

Shiha dan Iqbal dipilih untuk menggantikan pengacara sebelum ini, Qushairy atau Qi untuk program JJCM ini. Sebelum ini, JJCM pernah dikendali pengacara popular, Maria Tunku Sabri dan Serina Redzuawan.

You Might Also Like

0 comment

Assalamualaikum . . Hi peoples  . . Currently leave UR comment here . .I will reply soon as fast as I could . .Do drops UR link . . please don't SPAM ! ! 

Like us on Facebook

Flickr Images